28 February 2011

La Tahzan..

Bismillahirahmanirrahim..





Dengan penuh rasa rendah hati dan takutkan Yang Esa, saya memohon seribu kemaafan pada insan yang telah saya guriskan hatinya petang ini.. saya amat tidak sengaja. Begitulah lidah jika tidak dijaga dengan seeloknya. Semoga tuhan mengampunkan dosaku.. Astaghfirrullah al-azim. Sesungguhnya ukhuwah kita lillahi taala.. semoga terus berkekalan sehingga ke akhir hayat.




Semoga lembut hatimu melihat kecomelan kanak-kanak ini.. InsyaAllah:)

p/s: La tahzan ya.. cek minta maaf tau. Cek tau cek salah..



27 February 2011

As-Sobru Minal Iman..

Bismillahirrahmanirrahim..

Dalam keadaan yang agak sedikit serabut daripada biasa saya cuba selitkan entri ini.. serba tidak kena rasanya selagi masalah ini tidak setel. Tidak tahu mana silapnya.. mohon sesiapa sahaja boleh bantu ya.

Segalanya bermula selepas post entri Keutamaan Dalam Perhubungan.. lepas publish post tengok-tengok entri itu sahaja yang ada kat page.. mulanya fikir masalah internet yang slow tapi bila keadaan berterusan hati mula tidak tenang. Saya bukan orangnya yang mahir dalam dunia blog, kerana itu tidak tahu apa yang harus dilakukan. Seingat-ingat tidak ada pula klik-klik mana yang tidak patut.. oh, ini ujian okey.

Bila jenguk kat blog teman-teman juga tidak ada entri terbaru dari Sangkar Mustika walhal sudah post entri baru.. agaknya apa yang telah terjadi ya. InsyaAllah hati cuba bertenang dan terus bertenang. Semoga segalanya bakal pulih.. InsyaAllah.


25 February 2011

Keutamaan Dalam Perhubungan

Bimillahirrahmanirrahim...

Hampir setiap hari melawat dan menyapu sawang di halaman ini akhirnya hari ini dapat juga post entri yang semoga dapat memberi manfaat kepada kita bersama. Bukan apa, kalau saya simpan sahaja dalam dokumen laptop ini entah saya akan baca atau tidak. Barangkali juga sudah tidak ingat dalam folder mana saya letak. Tapi kalau post kat sini insyaAllah akan baca kerana itu fitrah kan.. hehe. Sambil menyelam minum air, boleh kongsi dengan sesiapa sahaja kan.. biiznillah.


Kita semua mempunyai ibu bapa dan insyaAllah sangat sayang dan hormatkan mereka kan. Tapi antara ibu atau bapa, yang mana kita perlu lebih utamakan? Mungkin ada yang kata, "ala.. sama je mak atau ayah dua-dua kita kena hormat. Kenalah adil, mana boleh lebihkan siapa-siapa". Hm, memang betul tapi sebenarnya ibu adalah lebih utama. Sebabnya ibu sudah mengalami kepayahan mengandung, melahirkan dan menyusukan.


‘ Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyapihnya ( memisahkan susuan) dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu.

(Surah Luqman: 14)

Oleh sebab itulah, sekiranya ibu dan bapa memanggil kita serentak lebih afdal menyahut panggilan ibu dahulu kerana keutamaannya. Nama pun syurga di bawah tapak kaki ibu kan.. tapi, jangan abaikan bapa pula ya. Bersamalah kita bir al walidain..


Dalam perhubungan suami isteri pula, suami merupakan keutamaan bagi seorang isteri. Sebab itulah seorang isteri wajib taat kepada suami selagi tidak disuruh melakukan perkara yang dilarang syarak. Antara ibu bapa dan suami, suami adalah lebih utama bagi wanita yang bergelar isteri. Semoga kita sama-sama sedar dan cakna dengan keutamaan dalam perhubungan ini. Rasulullah saw bersabda:


‘ Apabila seorang perempuan itu solat 5 waktu, berpuasa pada bulan ramadhan, menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya maka dikatakan padanya: masuklah ke syurga dari mana-mana pintu yang dia mahu’.

(Riwayat Ahmad dan Tabrani)


Oleh kerana keutamaan seorang isteri adalah suaminya jugalah isteri kena meminta izin suami apabila keluar rumah, menutup keaiban suami dan memenuhi kehendak suami.


Antara kita dan sahabat, sahabat adalah lebih utama lagi oleh itu perlulah berbuat baik kepada sahabat dengan menyayanginya, menolongnya ketika diperlukan sama ada dengan diri mahupun harta dan mendoakan baginya dengan kebaikan . Sebagaimana sabda Rasulullah saw daripada Abu Darda’:


' Tidak ada seorang Muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya tanpa pengetahuannya melainkan malaikat akan berkata: "Dan bagimu juga kebaikan yang sama" '.

(Riwayat Muslim)


Lepas ni jangan buli kawan-kawan kita lagi ya.. hehe.


Perhubungan dengan jiran tetangga juga ada keutamaannya. Perlulah diutamakan jiran yang berada lebih dekat dengan rumah kita berbanding jiran yang duduk jauh.. contohnya kalau kita menghulurkan makanan, utamakanlah jiran yang lebih dekat sebelum jiran yang lebih jauh. Allah swt berfirman:


‘ Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua orang tua, kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga dekat dan tetangga jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahaya yang kamu miliki’. Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membanggakan diri’.

(surah an-Nisa’: 36)


Perhubungan dengan tetamu macam mana pula ya.. sudah pasti tetamu lebih utama lagi. Hendaklah diutamakan dari sudut makanan, minuman, tempat tidur sekiranya bermalam dan juga tempat duduk. Berusahalah kita memberi layanan yang terbaik kepada tetamu melebihi diri sendiri.. seperti kisah Nabi Ibrahim yang begitu memuliakan tamu padahal tidak dikenalinya sebagaimana dalam Firman Allah swt:


‘Sudahkah sampai kepadamu (Muhammad) cerita tamu Ibrahim (malaikat-malaikat) yang dimuliakan? (Ingatlah) ketika mereka masuk ke tempatnya lalu mengucapkan, “Salaman (salam)”, Ibrahim menjawab, “Salamun (salam)”. (Mereka itu) orang-orang yang belum dikenalnya. Maka diam-diam dia (Ibrahim) pergi menemui keluarganya, kemudian dibawanya daging anak sapi gemuk (yang dibakar)….’

(surah az-Zariyat: 24-26)


Selain itu, kita sebagai golongan muda perlu mengutamakan golongan yang tua dengan menghormati dan memuliakan mereka. Sebagaimana telah Rasulullah khabarkan kepada pemuda-pemuda yang menghormati orang yang lebih tua daripada mereka:


‘ Tidaklah lebih mulia seorang pemuda yang menghormati orang yang lebih tua darinya melainkan Allah menetapkan siapa yang akan memuliakannya ketika tua nanti’.

(Riwayat Tirmizi)


Bagi orang yang kaya atau berkemampuan pula, keutamaan mereka adalah orang fakir. Sekiranya mereka mempunyai harta sama ada emas, perak, ladang, binatang ternakan atau perniagaan yang luas wajiblah ke atasnya mengeluarkan zakat hartanya kepada orang-orang fakir. Janganlah sakali-kali bakhil kerana ianya tidak akan terhalang dari azab Allah sebagaimana disebutkan dalam al-Quran:


‘ Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menginfakkannya pada jalan Allah maka berilah khabar gembira kepada mereka iaitu azab yang pedih’.

(surah at-Taubah: 34)


Sebenarnya ada banyak lagi perhubungan kita sesama manusia yang mempunyai keutamaannya namun sebahagian ini sahaja yang dapat saya kongsikan bersama secara ringkas. Semoga ia bermanfaat untuk kita. Sebagaimana saya sendiri juga kurang tahu mengenai beberapa perkara mengenainya sebelum ini. InsyaAllah kita sama-sama praktikkan dalam kehidupan ya..:)


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...