08 October 2010

Monolog Jiwa..

Bismillahirrahmanirrahim...

" Mendidik manusia begitulah. Mula-mula paksa dulu, lama-lama timbul rela."
(Solusi Isu Perdana: Ms 54)

Saya begitu tertarik dengan ungkapan di atas. Mungkin ada yang tidak setuju tapi ya, saya amat setuju kerana saya pernah merasai+mengalaminya dan alhamdulillah 'paksaan' itu mentarbiah diri ke arah pembentukan 'muslimah'..

Jiwa remaja sentiasa inginkan kebebasan, dahagakan perhatian. Ada saja yang tidak kena pasti memberontaklah jawabnya. Pada ketika itu masing-masing merasa merekalah yang betul. Masing-masing merungut kenapalah orang dewasa sangat tidak memahami jiwa mereka. Wahai remaja, ketahuilah jiwamu masih muda.. dikau lebih banyak buat keputusan ikut jiwa mudamu semata-mata. Hari ini pasti kamu tidak nampak mengapa 'orang tua' katakan perlu begini dan begitu tapi ketahuilah bila kamu berada di tempat mereka kamu akan sedar sebabnya..

Teringat tika masih berada di alam 'penjara' ilmu selama 7tahun lamanya.. Peraturan mewajibkan untuk solat berjemaah 5 waktu di masjid bagi semua pelajar muslimin dan muslimat. Hatta solat jumaat juga diwajibkan bagi pelajar muslimat. Biasanya pemberontakan hati akan berlaku secara jelasnya pada hujung minggu sebab masa itu adalah waktu berpicnic di tempat beradu. Bayangkan saja warden lelaki akan bergerak dari bilik ke bilik, cukup untuk membuatkan pelajar muslimat bertempiaran lari ke masjid. Di masjid pula akan diadakan spotcheck mengikut bilik masing-masing. Maka hasilnya sebahagiannya solat berjemaah semata-mata kerana peraturan dan tidak mahu didenda. Oleh kerana itu jugalah kejadian memalukan itu pernah saya lakukan.. hehe.

Kini setelah zaman remaja yang penuh kedegilan itu ditinggalkan, fahamlah bahawa peraturan syadid sedemikian diolah untuk mendidik diri agar konsisten berada dalam jemaah apabila solat..
'Orang tua' hanya inginkan yang terbaik buat kita. Rasulullah SAW bersabda:

"Sembahyang berjemaah itu lebih utama daripada sembahyang bersendirian dengan 27 darjat."
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Selain itu, 'penjara' ilmu juga 'mewajibkan' pelajar-pelajarnya untuk mengerjakan solat sunat rawatib + solat sunat hajat (selepas maghrib). Saya pernah didenda solat sunat hajat di dataran sekolah kerana peraturan 'wajib' ini.. hehe. Bayangkan saja elok-elok solat atas carpet masjid, saya dan teman lain akhirnya terpaksa solat bersejadahkan jalan raya yang usah kiralah berapa debunya. Semua ini kerana jiwa remaja yang memberontak tidak mahu dipaksa-paksa. Siap kata lagi 'alah, sunat je.. bukan wajib'. Malahan ada yang berpura-pura sedang duduk tahiyat akhir saat ustaz pantau di ruang muslimat, kononnya sudah hampir siap solat sunat. Hebat sungguh kan penangan 'paksaan' itu.

Namun kini hati yang telah ditarbiah melalui paksaan wajar berterima kasih kerana peraturan syadid itu. Paksaan membentuk diri.. tidak perlu dipaksa-paksa dengan sendirinya mahu mengerjakan solat-solat sunat berkat kesedaran diri ingin mengumpul saham sebagai bekalan di sana nanti. Dari Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda:

"Amal perbuatan manusia yang pertama kali akan dihisab pada Hari Kiamat adalah solat. Tuhan berkata kepada para malaikat, padahal Ia Maha Mengetahui: 'Periksalah solat hamba-Ku, apakah dilakukan dengan sempurna atau kurang?' Maka jika ternyata sempurna, dicatatlah sempurna. Tetapi jika terdapat kekurangan, maka Tuhan berfirman pula: 'Periksa lagi! Apakah hamba-Ku itu mempunyai amalan solat sunah?' Jika ternyata ada maka firman-Nya: 'Sempurnakanlah kekurangan solat fardhu hamba-Ku itu dengan solat sunahnya.' Kemudian diperhitungkanlah semua amal perbuatannya dengan cara demikian."
(Riwayat Abu Daud)

Hanya sebahagian sahaja contoh 'paksaan' yang saya kongsikan itu agar mana-mana hati yang mungkin sedang memberontak bakal dilembutkan.. walau bagaimana pun bentuk 'paksaan' itu, asalkan ianya adalah perkara yang baik pasti ada hikmah di sebaliknya. Hidayah itu milik Allah, kita sebagai manusia hanya menjadi sebab sahaja.. Allah tidak memberati seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Oleh yang demikian, bersabarlah menghadapi setiap dugaan. Janganlah terlalu diikutkan gelodak jiwamu yang inginkan kebebasan semata-mata. Wallahualam..

Renung-renungkanlah..
"Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan kebaikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh (di medan perjuangan), dan bersedekah serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya."
(Ali-Imran: 200)


03 October 2010

Di mana silapku..

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah diberi kesempatan 'meluahkan' isi hati yang baru sahaja bertenang dari kesedihan.
Kita hamba Allah yang sering diuji namun apabila diuji kita leka dan alpa bahawa kita sedang menghadapi ujiannya.. kita baru sahaja gagal ujian di dunia yang hanya bersifat sementara dan seharusnya tabah menghadapi ujian tersebut. Janganlah kerana ujian yang tidak membawa 'apa-apa' itu akan menjejaskan result ujian kita yang akan menentukan tempat kita di sana nanti..

Semalam bertarikh 03 Oktober 2010 saya telah gagal dalam suatu ujian buat kali kedua.. benar, saya menangis dan tidak dapat menahan rasa kecewa yang melanda. Seakan lupa diri ini siapa yang sering mendapat ujianNya.. Astaghfirullahalazim.

Betapa saya cuba mempertahankan hak saya untuk diberi peluang mencuba kali kedua namun peluang tidak akan datang bergolek. Alhamdulillah dalam kesedihan saya mendapat sedikit kekuatan, mencari di mana silapnya. Agaknya ada yang saya tidak perbetulkan pada diri ini. Seketika kemudian saya berkata pastinya Allah amat menyayangiku kerana mendapat ujian sebegini.

Saya mencari sedikit kekuatan, berlindung di bawah naunganNya dan mencari kekuatan semangat dari insan-insan tersayang. Alhamdulillah insan tersayang amat memahami. Semoga Allah melimpahkan rahmat atasnya. Terima kasih atas segala ungkapan penenang jiwa sehingga mata yang menangis mampu ditemani bibir yang tersenyum.. Subhanallah.

Sungguhpun agak sukar 'membiasakan' diri dengan ujian yang baru melanda tapi alhamdulillah diri tidak lagi mudah melatah. Hati sudah mampu berdepan dengan suasana, mampu untuk menerima kenyataan yang benar. Ya, saya tidak suka dengan apa yang telah terjadi namun hati segera bertenang mengingatkan Firman Allah SWT:

"Dan boleh jadi kamu tidak suka sesuatu perakara sedangkan ia baik bagimu dan boleh jadi kamu sukakan sesuatu perkara sedangkan ia tidak elok untuk kamu, dan Allah tahu sedangkan kamu tidak mengetahuinya."
(Al-BAqarah:216)

Sedang kaki melangkah perlahan menerima kegagalan diri, teman seujian yang saya tidak kenali memanggil perlahan.

'Adik jangan putus asa.. akak lagilah dah 4 kali gagal ujian ni. Kali ni baru lulus dik. Ikutkan hati memang tak mahu ambil ujian ni lagi tapi rugi lah.. adik jangan putus asa ya.'

Alhamdulillah hati semakin mendapat ketenangan..terasa semangat yang hilang kembali menghuni di hati. Reda dengan apa yang telah terjadi, hanya kepadaNya jua hati ini dikembalikan.. Sebagaimana firmanNya:

' Jikalau mereka bersungguh-sungguh reda dengan apa yang diberikan Allah & RasulNya kepada mereka dan berkata: Cukuplah Allah bagi kami. Allah akan memberikan kepada kami sebahagian dari kurniaNya dan demikian pula RasulNya, sesungguhnya kami adalah orang yang berharap kepada Allah.
(At-Taubah: 59)

Berkat hati yang mudah dinasihati kini saya tahu cara terbaik melupakan pahitnya kegagalan itu. Segera kembali kepada Allah, itulah yang utama. Setelah itu palinglah lihat orang lain yang mengalami kegagalan lebih teruk dari yang telah kita lalui. InsyaAllah saat itu hati pasti berkata ada lagi yang lebih kasihan.. Bersyukurlah kerana menjadi insan yang diuji. Seseorang itu tidak akan diuji melebihi kemampuannya.. Carilah insan-insan yang kita yakini mampu memberi kekuatan. Mohon diberi nasihat dan sedikit penyuntik semangat. InsyaAllah ketinggian seseorang itu kerana imannya..

' Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman.
( Ali-Imran: 139)

Ibn Qoyyim al-Jauziyyah:
'Hati adalah wadah iman, jadi ia mesti beristiqamah'

Ahamdulillah syukran jazilan 'ala insan-insan tersayang yang telah menyuntik semangat mengembalikan kekuatan yang sedikit goyah- mak & abah, abang Asrul, sahabatku suel, sahabat yang bergelar akak yang tidak sempat saya kenali namanya.. Semoga berada dalam rahmatnya sentiasa. Amin Ya Rabb...

Buat adik-adikku, Nashrul Nashriq & Mohd Fazly yang bakal berjuang di medan PMR yang bermula esok hari semoga dipermudahkan dalam menghadapinya. Semoga kejayaan mengiringi usaha kalian.. Semoga menjadi anak yang dibanggai ibu bapa. Amin Ya Rabb..




LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...