Hehe.. abaikan saja tajuk entri yang kelihatan sangat jiwang. Tapi serius, entri ini memang tentang kerinduan yang amat. Masuk hari ni dah 10 hari saya tak ke sekolah, mengajar anak-anak saya di sana.. 10 hari tambah dengan cuti sekolah hari tu hampir sebulan juga lah tak berjumpa dengan mereka. Patutlah hati ni rasa rindu yang amat..
Beberapa hari lalu, seorang guru di sekolah berpangkat akak mesej bertanya khabar saya yang sedang menjadi 'suri rumah' kini.. dia pelawa saya datang ke sekolah jenguk anak-anak saya di sana dan bertemu rakan-rakan guru. Kata akak tu, setiap hari anak-anak saya di tahun 1 dan tahun 2 bertanyakan saya.. sampaikan mereka minta akak tu telefon saya di rumah supaya mereka dapat bercakap dengan saya.
Anak-anak saya tu juga minta akak tu taipkan mesej kata-kata mereka untuk saya.. 'ustazah buat apa di rumah? Bila mau datang ajar kami?' Lebih kurang begitulah kata-kata mereka yang ditaipkan dalam mesej tu..
Sebak rasanya hati ni mengingatkan anak-anak di sana.. entah bagaimana pelajaran mereka kini dengan hanya seorang GPI sahaja di sekolah dan tanpa seorang pun guru j-QAF (memandangkan saya perintis untuk j-QAF di sekolah itu). Program tasmik mereka bagaimana pula.. sejak bermula persekolahan semester kedua langsung tidak dijalankan.. saya sangat simpati dengan anak-anak itu. Jauh di dalam hati saya juga sangat risau pelajaran dan program tasmik yang tertangguh akan menjejaskan prestasi pelajaran anak-anak itu pada tahun-tahun seterusnya.. sepertimana hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a dengan mafhumnya:
"Tidaklah seorang bayi yang dilahirkan melainkan dalam keadaan fitrah,
maka Kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, atau Nasrani atau
Musyrik."
(Hadis Riwayat di dalam sahih Muslim)
Saya sentiasa menganggap anak-anak murid saya itu seperti anak sendiri sebab bila kita anggap macam anak sendiri kita akan lebih ikhlas dalam mendidik dan beri peringatan..tak adalah timbul perasaan tak kisah bila anak murid itu tidak beradab sebab anggapan kita itu bukan anak kita dan kerja kita cuma mengajar di kelas saja. Saya sentiasa ingat kata-kata seorang yang sangat dekat dengan saya, katanya kehidupan di dunia ni bagaikan karamah. Macam mana kita buat dekat orang, tak mustahil macam tu juga orang buat dekat kita. Sebab tu bila saya mengajar anak murid macam anak sendiri, saya berharap anak-anak saya nanti pun akan diajar macam anak guru mereka sendiri..
Kalau kita berjasa dengan anak orang lain, tak mustahil orang lain pun akan buat jasa dekat anak kita kan.. macam tu lah konsep karamah yang saya sentiasa pegang. Sebab tu juga saya sangat tak sampai hati nak menyakiti anak-anak murid sebab saya sentiasa terfikir macam mana lah nasib anak saya kalau dia disakiti gurunya.. tak mahu kan.
Rindu punya pasal, berjela pula bebelan saya.. hehe. Akan datang saya nak kongsi sikit macam mana positif respon dan penerimaan anak-anak saya bila saya betulkan apa yang biasa mereka lakukan ke arah yang lebih baik.. insyaAllah.

