08 October 2010

Monolog Jiwa..

Bismillahirrahmanirrahim...

" Mendidik manusia begitulah. Mula-mula paksa dulu, lama-lama timbul rela."
(Solusi Isu Perdana: Ms 54)

Saya begitu tertarik dengan ungkapan di atas. Mungkin ada yang tidak setuju tapi ya, saya amat setuju kerana saya pernah merasai+mengalaminya dan alhamdulillah 'paksaan' itu mentarbiah diri ke arah pembentukan 'muslimah'..

Jiwa remaja sentiasa inginkan kebebasan, dahagakan perhatian. Ada saja yang tidak kena pasti memberontaklah jawabnya. Pada ketika itu masing-masing merasa merekalah yang betul. Masing-masing merungut kenapalah orang dewasa sangat tidak memahami jiwa mereka. Wahai remaja, ketahuilah jiwamu masih muda.. dikau lebih banyak buat keputusan ikut jiwa mudamu semata-mata. Hari ini pasti kamu tidak nampak mengapa 'orang tua' katakan perlu begini dan begitu tapi ketahuilah bila kamu berada di tempat mereka kamu akan sedar sebabnya..

Teringat tika masih berada di alam 'penjara' ilmu selama 7tahun lamanya.. Peraturan mewajibkan untuk solat berjemaah 5 waktu di masjid bagi semua pelajar muslimin dan muslimat. Hatta solat jumaat juga diwajibkan bagi pelajar muslimat. Biasanya pemberontakan hati akan berlaku secara jelasnya pada hujung minggu sebab masa itu adalah waktu berpicnic di tempat beradu. Bayangkan saja warden lelaki akan bergerak dari bilik ke bilik, cukup untuk membuatkan pelajar muslimat bertempiaran lari ke masjid. Di masjid pula akan diadakan spotcheck mengikut bilik masing-masing. Maka hasilnya sebahagiannya solat berjemaah semata-mata kerana peraturan dan tidak mahu didenda. Oleh kerana itu jugalah kejadian memalukan itu pernah saya lakukan.. hehe.

Kini setelah zaman remaja yang penuh kedegilan itu ditinggalkan, fahamlah bahawa peraturan syadid sedemikian diolah untuk mendidik diri agar konsisten berada dalam jemaah apabila solat..
'Orang tua' hanya inginkan yang terbaik buat kita. Rasulullah SAW bersabda:

"Sembahyang berjemaah itu lebih utama daripada sembahyang bersendirian dengan 27 darjat."
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Selain itu, 'penjara' ilmu juga 'mewajibkan' pelajar-pelajarnya untuk mengerjakan solat sunat rawatib + solat sunat hajat (selepas maghrib). Saya pernah didenda solat sunat hajat di dataran sekolah kerana peraturan 'wajib' ini.. hehe. Bayangkan saja elok-elok solat atas carpet masjid, saya dan teman lain akhirnya terpaksa solat bersejadahkan jalan raya yang usah kiralah berapa debunya. Semua ini kerana jiwa remaja yang memberontak tidak mahu dipaksa-paksa. Siap kata lagi 'alah, sunat je.. bukan wajib'. Malahan ada yang berpura-pura sedang duduk tahiyat akhir saat ustaz pantau di ruang muslimat, kononnya sudah hampir siap solat sunat. Hebat sungguh kan penangan 'paksaan' itu.

Namun kini hati yang telah ditarbiah melalui paksaan wajar berterima kasih kerana peraturan syadid itu. Paksaan membentuk diri.. tidak perlu dipaksa-paksa dengan sendirinya mahu mengerjakan solat-solat sunat berkat kesedaran diri ingin mengumpul saham sebagai bekalan di sana nanti. Dari Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda:

"Amal perbuatan manusia yang pertama kali akan dihisab pada Hari Kiamat adalah solat. Tuhan berkata kepada para malaikat, padahal Ia Maha Mengetahui: 'Periksalah solat hamba-Ku, apakah dilakukan dengan sempurna atau kurang?' Maka jika ternyata sempurna, dicatatlah sempurna. Tetapi jika terdapat kekurangan, maka Tuhan berfirman pula: 'Periksa lagi! Apakah hamba-Ku itu mempunyai amalan solat sunah?' Jika ternyata ada maka firman-Nya: 'Sempurnakanlah kekurangan solat fardhu hamba-Ku itu dengan solat sunahnya.' Kemudian diperhitungkanlah semua amal perbuatannya dengan cara demikian."
(Riwayat Abu Daud)

Hanya sebahagian sahaja contoh 'paksaan' yang saya kongsikan itu agar mana-mana hati yang mungkin sedang memberontak bakal dilembutkan.. walau bagaimana pun bentuk 'paksaan' itu, asalkan ianya adalah perkara yang baik pasti ada hikmah di sebaliknya. Hidayah itu milik Allah, kita sebagai manusia hanya menjadi sebab sahaja.. Allah tidak memberati seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Oleh yang demikian, bersabarlah menghadapi setiap dugaan. Janganlah terlalu diikutkan gelodak jiwamu yang inginkan kebebasan semata-mata. Wallahualam..

Renung-renungkanlah..
"Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan kebaikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh (di medan perjuangan), dan bersedekah serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya."
(Ali-Imran: 200)


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...