09 January 2011

Aku Sayang Dia..

Bismillahirrahmanirrahim...


Saat menerima panggilan dari mak, hati sudah dapat mengagak khabar yang bakal dibawa. Mana mungkin mak menelefon pada saat dia sepatutnya sudah lena diulit mimpi. Benar, mak bawa khabar itu. Nenek sudah meninggalkan kami buat selama-lamanya. Innalillahiwainnailaihirajiun.... Akhirnya penderitaan nenek telah berakhir biarpun pemergiannya ditangisi dan saya tidak dapat berada di sisinya pada saat terakhirnya.

Al-Fatihah.......



Hati menangis mengenang arwah namun tidak ada setitik pun airmata yang mengalir keluar. Mungkin ini yang terbaik buat arwah. Akhirnya nenek menyusul arwah datuk di sana. Semoga roh keduanya ditempatkan dalam kalangan golongan beriman.. InsyaAllah.



Dulu, jika ke rumah nenek pasti tidak boleh balik ke rumah selagi tidak minum dahulu air yang dibuatnya. Nenek pasti kata, kempunan nanti. Nenek sangat memuliakan tetamu, dengan cucu dan anak-anak sendiri pun dilayan sebaik mungkin. Pasti dihidangkannya dengan makanan dan minuman semampunya.



Kalau bermalam di rumahnya pula, pantang tinggalkan pakaian kotor di bilik mandi pasti dibasuhnya tanpa sebarang rungutan. Termasuk yang kecil-kecil itu sekali. Nenek sangat baik hati..



Walaupun hidupnya sederhana, nenek sangat pemurah orangnya. Tidak pernah sekali-kali berkira dengan sesiapa. Setiap kali hendak pulang ke asrama, nenek pasti beri duit belanja. Biarpun ditolak, tetap jua menghulur. Jika nenek suruh ke kedai pula, tentu akan diberi upah biarpun sedikit. Kata orang, asal ada. Bahkan saatnya terlantar sakit pun dia masih begitu juga. Baik sungguh hati nenek kan.



Tapi kini, semua itu sudah tinggal kenangan. Nenek suatu kehilangan yang tiada gantinya. Saya amat sayangkannya. Biarpun sedikit terkilan kerana tidak berada di sisinya saatnya tenat namun saya redha.. pasti ada hikmah di sebaliknya. Semoga mak juga tabah dan meredhakan pemergian ibunya itu..



"Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa nenek yang amat ku kasihi.
Permudahkanlah segala urusannya di sana...
Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman...
Sesungguhnya kami milikMu ya Allah dan kepadaMu jualah kami akan kembali...
Amin ya Rabb.."

06 January 2011

~Syoknya Perjalanan 2~

Bismillahirrahmanirrahim...


Alhamdul
illah dengan izinNya jua perjalanan diteruskan lagi.. kali ini ke ibu kota pula. Selalu stay kat KLIA @ LCCT je tapi kali ini dapat juga luaskan lagi pemandangan. Jangan bilang saya sakai ya bila lihat gambar-gambar di bawah nanti.. hehe.


Jejak je kaki di KL, pakcik terus bawa ke Shah Alam.. jeng-jeng. Salji punya pasal apa pun sanggup.. hehe.
Excited sangat bila dapat 'main' salji palsu tapi menggigilnya tuhan saja yang tahu. Sudahlah tidak pakai sweater.. hehe. Tapi makcik lagi excited tau, sungguh tidak sabar dirinya ketika itu (wah, tatabahasa yang sungguh mempesonakan cikgu BM). Konon-konon kat Oversea la.. hehe. Entah musim bunga macam mana pula rasanya ya..


Antara gambar di Malaysia + Oversea, hehe..






On the way dengan bas. Fresh air lagi.. nyaman.












Jom lihat di dalam..



















Senja nan merah.. hehe















Kembali ke cuaca panas..









Ini bukan breakfast tapi lunch.. wawawa




















Yang ini cuma snap dari balkoni hotel...















Okey, nak balik kampung dah.. tata


Syukran jazilan buat makcik sebab sponsor sepenuhnya perjalanan kali ini.. saya cuma prepare kekuatan untuk berjalan-jalan saja.. hehe. Lain kali ajak saya bercuti lagi ya makcik.. saya sentiasa free untuk itu.. hehe:)


05 January 2011

~Syoknya Perjalanan 1~

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah..akhirnya dapat juga melepas rindu dengan 'rumahku' ini. Agak bersawang sekali..ish..ish..ish.

Semangat lain sikit kali ini, apa tidaknya semuanya baru=laptop baru+mood baru+cerita baru.. hehe. Orangnya saja yang tetap lama..macam tu juga rupa parasnya, hehe.

Tempoh hari buat pertama kalinya menjejakkan kaki ke bandaraya bersejarah. Hmm...best! (Tempat yang best atau kenangan itu yang terindah???), hehe. Apa-apa pun, saya kongsi beberapa gambar yang tidak begitu glamor tapi amat bermakna.. InsyaAllah.

Sekitar Dataran Pahlawan yang cukup membuatkan kaki saya lenguh berjalan tapi....... seronok! Hehe..






Rugi tak sempat naik Menara Taming Sari, dapat tengok pun jadilah, hehe.



Sempat semput sekejap naik laluan ni, hehe.

Gambar ni hasil permintaan mak tercinta..

Angan-anganlah tu nak main keris, hehe.

Ni gambar favourite saya.. lalala

Sampai sekarang confuse, kapal ni tersadai atau apa ya..??

Penyu atau dot...dot... lebih comel ya, hehe.

Walaupun cuma ambil masa seharian berjalan-jalan round Melaka tapi alhmdulillah pengalaman+kenangan itu cukup berharga. InsyaAllah jika berkesempatan teringin ke sana lagi.

Syukran jazilan li sahabati ukhti zizie dan seisi rumah kerana bagi peluang saya tinggal di rumah mereka beberapa hari. Syukran aidhon kepada abang Asrul kerana banyak bersusah payah selama saya berada di Melaka. Jasa kalian dikenang. Rindu kalian sangat.. nanti kita jumpa lagi ya.

P/s: Jauh berjalan luas pemandangan, semakin kita memikirkan kebesaranNya.. Subhanallah.

08 October 2010

Monolog Jiwa..

Bismillahirrahmanirrahim...

" Mendidik manusia begitulah. Mula-mula paksa dulu, lama-lama timbul rela."
(Solusi Isu Perdana: Ms 54)

Saya begitu tertarik dengan ungkapan di atas. Mungkin ada yang tidak setuju tapi ya, saya amat setuju kerana saya pernah merasai+mengalaminya dan alhamdulillah 'paksaan' itu mentarbiah diri ke arah pembentukan 'muslimah'..

Jiwa remaja sentiasa inginkan kebebasan, dahagakan perhatian. Ada saja yang tidak kena pasti memberontaklah jawabnya. Pada ketika itu masing-masing merasa merekalah yang betul. Masing-masing merungut kenapalah orang dewasa sangat tidak memahami jiwa mereka. Wahai remaja, ketahuilah jiwamu masih muda.. dikau lebih banyak buat keputusan ikut jiwa mudamu semata-mata. Hari ini pasti kamu tidak nampak mengapa 'orang tua' katakan perlu begini dan begitu tapi ketahuilah bila kamu berada di tempat mereka kamu akan sedar sebabnya..

Teringat tika masih berada di alam 'penjara' ilmu selama 7tahun lamanya.. Peraturan mewajibkan untuk solat berjemaah 5 waktu di masjid bagi semua pelajar muslimin dan muslimat. Hatta solat jumaat juga diwajibkan bagi pelajar muslimat. Biasanya pemberontakan hati akan berlaku secara jelasnya pada hujung minggu sebab masa itu adalah waktu berpicnic di tempat beradu. Bayangkan saja warden lelaki akan bergerak dari bilik ke bilik, cukup untuk membuatkan pelajar muslimat bertempiaran lari ke masjid. Di masjid pula akan diadakan spotcheck mengikut bilik masing-masing. Maka hasilnya sebahagiannya solat berjemaah semata-mata kerana peraturan dan tidak mahu didenda. Oleh kerana itu jugalah kejadian memalukan itu pernah saya lakukan.. hehe.

Kini setelah zaman remaja yang penuh kedegilan itu ditinggalkan, fahamlah bahawa peraturan syadid sedemikian diolah untuk mendidik diri agar konsisten berada dalam jemaah apabila solat..
'Orang tua' hanya inginkan yang terbaik buat kita. Rasulullah SAW bersabda:

"Sembahyang berjemaah itu lebih utama daripada sembahyang bersendirian dengan 27 darjat."
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Selain itu, 'penjara' ilmu juga 'mewajibkan' pelajar-pelajarnya untuk mengerjakan solat sunat rawatib + solat sunat hajat (selepas maghrib). Saya pernah didenda solat sunat hajat di dataran sekolah kerana peraturan 'wajib' ini.. hehe. Bayangkan saja elok-elok solat atas carpet masjid, saya dan teman lain akhirnya terpaksa solat bersejadahkan jalan raya yang usah kiralah berapa debunya. Semua ini kerana jiwa remaja yang memberontak tidak mahu dipaksa-paksa. Siap kata lagi 'alah, sunat je.. bukan wajib'. Malahan ada yang berpura-pura sedang duduk tahiyat akhir saat ustaz pantau di ruang muslimat, kononnya sudah hampir siap solat sunat. Hebat sungguh kan penangan 'paksaan' itu.

Namun kini hati yang telah ditarbiah melalui paksaan wajar berterima kasih kerana peraturan syadid itu. Paksaan membentuk diri.. tidak perlu dipaksa-paksa dengan sendirinya mahu mengerjakan solat-solat sunat berkat kesedaran diri ingin mengumpul saham sebagai bekalan di sana nanti. Dari Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda:

"Amal perbuatan manusia yang pertama kali akan dihisab pada Hari Kiamat adalah solat. Tuhan berkata kepada para malaikat, padahal Ia Maha Mengetahui: 'Periksalah solat hamba-Ku, apakah dilakukan dengan sempurna atau kurang?' Maka jika ternyata sempurna, dicatatlah sempurna. Tetapi jika terdapat kekurangan, maka Tuhan berfirman pula: 'Periksa lagi! Apakah hamba-Ku itu mempunyai amalan solat sunah?' Jika ternyata ada maka firman-Nya: 'Sempurnakanlah kekurangan solat fardhu hamba-Ku itu dengan solat sunahnya.' Kemudian diperhitungkanlah semua amal perbuatannya dengan cara demikian."
(Riwayat Abu Daud)

Hanya sebahagian sahaja contoh 'paksaan' yang saya kongsikan itu agar mana-mana hati yang mungkin sedang memberontak bakal dilembutkan.. walau bagaimana pun bentuk 'paksaan' itu, asalkan ianya adalah perkara yang baik pasti ada hikmah di sebaliknya. Hidayah itu milik Allah, kita sebagai manusia hanya menjadi sebab sahaja.. Allah tidak memberati seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Oleh yang demikian, bersabarlah menghadapi setiap dugaan. Janganlah terlalu diikutkan gelodak jiwamu yang inginkan kebebasan semata-mata. Wallahualam..

Renung-renungkanlah..
"Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan kebaikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh (di medan perjuangan), dan bersedekah serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya."
(Ali-Imran: 200)


03 October 2010

Di mana silapku..

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah diberi kesempatan 'meluahkan' isi hati yang baru sahaja bertenang dari kesedihan.
Kita hamba Allah yang sering diuji namun apabila diuji kita leka dan alpa bahawa kita sedang menghadapi ujiannya.. kita baru sahaja gagal ujian di dunia yang hanya bersifat sementara dan seharusnya tabah menghadapi ujian tersebut. Janganlah kerana ujian yang tidak membawa 'apa-apa' itu akan menjejaskan result ujian kita yang akan menentukan tempat kita di sana nanti..

Semalam bertarikh 03 Oktober 2010 saya telah gagal dalam suatu ujian buat kali kedua.. benar, saya menangis dan tidak dapat menahan rasa kecewa yang melanda. Seakan lupa diri ini siapa yang sering mendapat ujianNya.. Astaghfirullahalazim.

Betapa saya cuba mempertahankan hak saya untuk diberi peluang mencuba kali kedua namun peluang tidak akan datang bergolek. Alhamdulillah dalam kesedihan saya mendapat sedikit kekuatan, mencari di mana silapnya. Agaknya ada yang saya tidak perbetulkan pada diri ini. Seketika kemudian saya berkata pastinya Allah amat menyayangiku kerana mendapat ujian sebegini.

Saya mencari sedikit kekuatan, berlindung di bawah naunganNya dan mencari kekuatan semangat dari insan-insan tersayang. Alhamdulillah insan tersayang amat memahami. Semoga Allah melimpahkan rahmat atasnya. Terima kasih atas segala ungkapan penenang jiwa sehingga mata yang menangis mampu ditemani bibir yang tersenyum.. Subhanallah.

Sungguhpun agak sukar 'membiasakan' diri dengan ujian yang baru melanda tapi alhamdulillah diri tidak lagi mudah melatah. Hati sudah mampu berdepan dengan suasana, mampu untuk menerima kenyataan yang benar. Ya, saya tidak suka dengan apa yang telah terjadi namun hati segera bertenang mengingatkan Firman Allah SWT:

"Dan boleh jadi kamu tidak suka sesuatu perakara sedangkan ia baik bagimu dan boleh jadi kamu sukakan sesuatu perkara sedangkan ia tidak elok untuk kamu, dan Allah tahu sedangkan kamu tidak mengetahuinya."
(Al-BAqarah:216)

Sedang kaki melangkah perlahan menerima kegagalan diri, teman seujian yang saya tidak kenali memanggil perlahan.

'Adik jangan putus asa.. akak lagilah dah 4 kali gagal ujian ni. Kali ni baru lulus dik. Ikutkan hati memang tak mahu ambil ujian ni lagi tapi rugi lah.. adik jangan putus asa ya.'

Alhamdulillah hati semakin mendapat ketenangan..terasa semangat yang hilang kembali menghuni di hati. Reda dengan apa yang telah terjadi, hanya kepadaNya jua hati ini dikembalikan.. Sebagaimana firmanNya:

' Jikalau mereka bersungguh-sungguh reda dengan apa yang diberikan Allah & RasulNya kepada mereka dan berkata: Cukuplah Allah bagi kami. Allah akan memberikan kepada kami sebahagian dari kurniaNya dan demikian pula RasulNya, sesungguhnya kami adalah orang yang berharap kepada Allah.
(At-Taubah: 59)

Berkat hati yang mudah dinasihati kini saya tahu cara terbaik melupakan pahitnya kegagalan itu. Segera kembali kepada Allah, itulah yang utama. Setelah itu palinglah lihat orang lain yang mengalami kegagalan lebih teruk dari yang telah kita lalui. InsyaAllah saat itu hati pasti berkata ada lagi yang lebih kasihan.. Bersyukurlah kerana menjadi insan yang diuji. Seseorang itu tidak akan diuji melebihi kemampuannya.. Carilah insan-insan yang kita yakini mampu memberi kekuatan. Mohon diberi nasihat dan sedikit penyuntik semangat. InsyaAllah ketinggian seseorang itu kerana imannya..

' Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman.
( Ali-Imran: 139)

Ibn Qoyyim al-Jauziyyah:
'Hati adalah wadah iman, jadi ia mesti beristiqamah'

Ahamdulillah syukran jazilan 'ala insan-insan tersayang yang telah menyuntik semangat mengembalikan kekuatan yang sedikit goyah- mak & abah, abang Asrul, sahabatku suel, sahabat yang bergelar akak yang tidak sempat saya kenali namanya.. Semoga berada dalam rahmatnya sentiasa. Amin Ya Rabb...

Buat adik-adikku, Nashrul Nashriq & Mohd Fazly yang bakal berjuang di medan PMR yang bermula esok hari semoga dipermudahkan dalam menghadapinya. Semoga kejayaan mengiringi usaha kalian.. Semoga menjadi anak yang dibanggai ibu bapa. Amin Ya Rabb..




17 September 2010

Masih Segar di Ingatan...

Bismillahirrahmanirrahim...

Semasa berada di kampung tempoh hari, beberapa kali saya melalui rumah arwah guru mengaji saya yang pertama. Masih segar di ingatan saya kenangan demi kenangan samada baik dan buruk bersama arwah (sila jangan salah faham tau..hehe). Patutnya saya kena mulakan ayat dengan perkataan once upon a time ni.. hehe.

Kalau tidak silap mungkin ketika itu saya berumur 8tahun ketika mula belajar mengaji al-Quran. Saya belajar sekali dengan beberapa orang sepupu yang agak nakal juga di rumah mereka (maksud saya, guru datang ke rumah sepupu saya dan kami belajar ramai-ramai di situ).

Biarpun saya yang paling muda @ kecil dalam kalangan yang belajar mengaji itu tapi saya yang paling mendahului mereka ketika itu. Sepupu-sepupu saya bukannya tidak pandai tapi mereka agak malas+nakal. Apa tidaknya, ketika guru membaca ayat yang diajar pada hari itu mereka pula beramai-ramai standby dengan pensil+kertas di riba. Setiap ayat yang dibaca oleh guru mereka salin semula bunyinya ke dalam Bahasa Malaysia (ala-ala salin lirik lagu kat radio..astaghfirullahalazim). Apabila giliran mereka membaca tiba, masing-masing cuma membaca apa yang telah disalin tadi dengan begitu LANCARnya.. saya yang ketika itu masih kecil hanya tersenyum-senyum melihat telatah mereka. Mujur saya tidak terpengaruh dengan mereka.

Selain bab mengaji, ada lagi 1 kisah antara saya dan guru yang saya tidak akan lupa. Zaman kanak-kanak saya dolu-dolu (versi sekolah, hehe) saya sangat rajin ke masjid pada setiap malam untuk belajar mengaji+solat berjemaah. Kali ini saya teruskan pengajian al-Quran dengan guru yang lain. Tapi saya still jumpa guru mengaji yang lama di masjid tersebut. Pada suatu malam, tiba-tiba datang idea jahat untuk mengenakan ex-guru saya itu. Menjadi kebiasaan beliau untuk masuk ke tandas setiap kali selepas azan sebelum ambil wudhu. Maka saya dengan nakalnya telah menabur beberapa kulit pisang di atas lantai tandas dengan harapan ketika itu dapat tengok guru dengan aksi tergelincir.

Ya Allah betapa jahat+nakalnya saya ketika itu. Saya hanya fikir akan keseronokan saja tanpa fikirkan akibatnya. Namun, syukur Dia telah menyelamatkan saya dari menjadi insan yang bersalah. Beliau mengutip kulit-kulit pisang yang telah saya tabur itu. Terbongkok-bongkok dia mengutip. Timbul rasa kasihan saya ketika itu lalu automatik saya terus minta maaf.

Harap-harap anak-anak saya kelak tidak ikut jejak langkah kenakalan saya ini.. hehe.
Sesunggguhnya saya amat rindukan saat-saat itu. Bila saya lalu masjid yang lama itu (sekarang tidak diguna lagi) saya akan rasa sangat sedih sebab di situlah banyak kenangan saya. Tempat bermain dan tempat saya kenal erti kehidupan..

Berkat guru membawa ke akhirat, sedikit belajar banyak yang dapat. Lagilah kalau banyak belajar kan.. hehe. Oleh itu hormatlah guru, tanpa mereka siapalah kita. Al-Fatihah buat arwah guru saya- Haji Awalluddin. Semoga rohnya dicucuri rahmat.. ameen.

Riang Ria Ramadhan..Part 2

Bismillahirrahmanirrahim...

Menggebu-gebu sekali perasaan ingin membuat biskut raya pada Ramadhan yang lalu (Ramadhan la, sekarang kan sudah bulan Syawal.. hehe). Tidak tahu kenapa keinginan begitu kuat sekali. Alhamdulillah mak tersayang menyokong penuh hasrat saya itu.. hehe. Apatah lagi dalam tempoh 10 hari lagi hendak beraya sebiji biskut pun tidak ada lagi.. mak tersangatlah sibuk dengan jahitan-jahitannya beserta bisnes sagunya itu.. Maka, saya dengan penuh gaya diktatornya telah mengerahkan tenaga adik-adik untuk sama-sama membantu (ayat ala-ala ganas, hehe).

Hasilnya..jeng-jeng..
1. Biskut Cornflakes





2. Biskut Almond London (favourite ni..hehe)




3. Biskut Makmor & Tat Strawberry


Kedua-dua biskut ini telah dibuat dalam keadaan yang agak tergesa-gesa sikit. Makanya hanya gambar siap yang sempat diambil.. hehe. Tiada sebarang penipuan tau.. Balang tu nampak sahaja macam balang kuih tunjuk tapi isinya original tau made by me, mak & adik-adik yang bertuah.. hehe. Mak beli balang tu RM1.90 tau 1.. mahal kan. Ish-ish.. memang agak cekik darah.

4. Biskut Kacang
Bangun dari tidur pada pagi sehari lagi sebelum raya, saya telah menerima arahan dari mak.. 'hari ni buatlah 1 kuih hentam-hentam je..' Aik, dalam hati saya befikir-fikir kuih apa ya..
Akhirnya saya berjaya menghasilkan biskut kacang.. hehe. Campur sahaja tepung jagung+tepung gandum+tepung kastad selepas itu digaul bersama gula halus+mentega+esen vanilla dan akhir sekali dihias dengan kacang.. Ni abang Asrul confirm kata saya semborono, hehe. Tapi adik-adik puji tau hasilnya.. alhamdulillah.

5. Kuih Sapit
Ini pula kuih tradisional made by mak tapi guna cara moden tau. Mak bakar guna acuan elektrik. Kesian kat mak, letih menunggu balangnya penuh. Saya pula memang tak dapat membantu dalam bab kuih sapit ni sebab tidak berapa cun gulung guna supit (alat untuk makan ambuyat).


6. Kelupis + kuah kacang


Sedap tau.. nyam-nyam. Kelupis ni sangat sedap dimakan masa hari raya & kenduri kahwin..
Nasi kelupis ni mak yang masak tau, manakala kuah kacang pula saya tolong sediakan bahan-bahan saja. Adik-adik pula bekerjasama membungkus nasi ke dalam daun (dalam bahasa Bisaya dipanggil daun silad). Akhir sekali saya jadi si tukang kukus untuk layukan daun sahaja..
Alhamdulillah misi untuk tidak mahu kehadiran kuih tunjuk pada aidilfitri kali ini berjaya.. hehe. Alhamdulillah juga kerana kesemua resepi yang dicuba berhasil dan memuaskan, itulah berkatnya perencah bismillah dan selawat ke atas nabi.. kalau kita beli sahaja, belum tentu perencah-perencah istimewa itu ada kan..



03 September 2010

Riang Ria Ramadhan..Part 1

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah terasa mood segar+bugar+gembira+riang+ria duduk di rumah keluarga tercinta..
sudah lama tidak rasa perasaan seperti ini. Hanya di rumah keluarga tau, tidak terdapat di hostel kampus.. hehe.

Seronok kerana mak tersayang telah menyiapkan baju raya yang special untuk saya dan adik-adik.. juga setiap hari saya sentiasa bersemangat untuk menyiapkan juadah berbuka seenak yang mungkin. yup, mak rasa pelik memikirkan anak daranya ini. ' Kenapa rajin semacam je sejak balik ni?' Hehe.. agaknya tak lama lagi nak jadi isteri orang kot.. hehe.

Alhamdulillah sebelum tidur setelah settlekan kerja-kerja rumah dan tuntutan Illahi saya meluangkan masa menambah ilmu dengan membaca karya seorang doktor dan isterinya.. alhamdulillah sangat berguna kepada kita dan amatlah rugi mereka yang tidak sempat membacanya saya kira..


Saya amat mengalu-alukan anda semua untuk membacanya kerana bukan saja menambah ilmu pengetahuan malahan menjawab pelbagai persoalan berkaitan masalah-masalah fiqh wanita, fiqh cinta dan fiqh perubatan.
Pelbagai pengajaran yang saya dapat hasil membaca kedua-dua karya ilmiah ini.. Alhamdulillah semoga diberi kemudahan kepada keduanya untuk terus menulis.. InsyaAllah.
Hari-hari yang saya lalui juga penuh bersemangat untuk meneruskan ramadhan yang tinggal beberapa hari saja lagi juga bersemangat menyediakan biskut raya.. haa, yang ini kena tunggu part 2 nanti. Saya akan tunjuk satu persatu tau..
Apalah mengarut ni kan.. hehe.

18 August 2010

Secangkir Perkongsian...

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah masih berpeluang untuk berkongsi 'sesuatu'. Tapi bimbang juga kalau dikatakan perasan atau dalam bahasa saintifiknya masuk lif tekan sendiri.. hehe. Apa yang penting sebenarnya adalah niat. Jika niat perkongsian itu untuk berbangga-bangga atau menunjuk-nunjuk lebih baik pendamkan sahaja.. tidak elok.

InsyaAllah biiznillah entri kali ini adalah lebih kepada suatu perkongsian yang mungkin juga berguna untuk sesiapa sahaja barangkali..

Awwalan..
" Akak umur berapa ya? 20 atau 21? "
" 22.. hehe. "
" Nampak muda la akak ni. "


Thanian..
Saya dan kedua adik lelaki duduk berbual (saya anak sulung tau), lalu adik lelaki yang ketiga berkata..
" Antara akak dengan abang, nampak macam abang pula anak sulung."


Salisan..
Mak membawa saya dan adik bongsu (perempuan) yang berumur 13 tahun ke suatu walimah. Seorang makcik bertanya kepada mak..
" Mana satu anak sulung kamu ni? "
" Yang ni hah.." (sambil tunjuk ke arah saya)

Itu adalah antara beberapa situasi yang biasa saya lalui.. bak kata orang alah bisa tegal biasa. Niat di hati hanya ingin berkongsi apa yang menjadi kebiasaan saya semenjak kecil sehingga dewasa kini. Tidak ada amalan khusus, hanya uruf yang mengiringi.

1. Minum susu sejak kanak-kanak.

2. Sangat tidak gemar minuman berkarbonat kecuali 100plus.

3. Sejak kecil tidak minum minuman berkafien. Hanya sekali-sekala apabila perlu.

4. Minum air putih setiap kali sebelum tidur dan bangun dari tidur.

5. Tidak terus minum air selepas makan kecuali jika terdesak/terpaksa.

6. Tidak menggunakan sebarang produk pencuci muka atau krim pembersih. (Boleh jimat.. hehe)

7. Sangat suka senyum.. hehe. ( Like this..:) )

8. Sangat suka tengok cerita kartun. Mungkin ramai orang dewasa tidak suka kartun tapi tahu atau tidak dengan menonton kartun jiwa terasa muda sentiasa. Lagipun tengok kartun muka akan sentiasa senyum @ tergelak-gelak. Sebab tu budak-budak suka cerita kartun..

9. Rajin basuh muka guna air bersih. (Of course la kan.. hehe)

10. Sangat suka kanak-kanak.. comel sangat diorang tu tau.

Selain perkara-perkara di atas, amalan bacaan ayat-ayat al-Quran dan mengekalkan wudhu juga merupakan salah satu petua awet muda. Tidak perlu pelbagai produk yang banyak bahan kimia dan cara yang menyakitkan tubuh. Semoga dengan sedikit perkongsian ini dapat menjawab persoalan-persoalan yang diajukan kepada saya selama ini.. insyaAllah.

Kita sebagai hamba bertanggungjawab memelihara dan menjaga jasad yang diamanahkan ini. Kita hnya berusaha, selebihnya hanya Dia jualah yang menentukan.. Wallahualam.

P/s: Selamat mengamalkan dan renung-renungkan.. hehe.



16 August 2010

Ahlan Ya Ramadhan...

Bismillahirrahmanirrahim...







Kekangan masa tidak memungkinkan saya untuk meluangkan lebih masa dalam Sangkar Mustika..
Tambahan lagi laptop belum dapat diusahakan.. InsyaAllah dalam sedikit masa lagi hendaknya. Apa-apa pun, salam Ramadhan. Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna..



Tidak dilupakan, al-Fatihah buat allahyarham pakcik.. semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.. ameen.




LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...